PETALING JAYA – “Watak Bibi tiada kaitan langsung dengan situasi rumah tangga saya sekarang.”
Demikian penegasan pelakon Puteri Sarah Liyana, sekali gus menafikan sekeras-kerasnya bahawa watak Bibi lakonannya dalam teater Maduku Terpaling Kalut ada kaitan dengan realiti kehidupannya kini.
Perkara tersebut susulan masalah rumah tangga bersama pengarah tersohor Syamsul Yusof dikatakan berpunca daripada orang ketiga.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, jalan cerita Maduku Terpaling Kalut memaparkan watak Bibi yang hidup bermadu, belum dan tidak akan sesekali terjadi dalam kehidupan sebenarnya.
“Apa yang berlaku dalam Maduku Terpaling Kalut, belum lagi dan tak akan terjadi kepada saya,” katanya ringkas.
Berkongsi mengenai pembabitannya dalam teater berdurasi sejam 20 minit itu, Puteri Sarah berkata, dia hampir menarik diri pada saat-saat akhir.
“Saya betul-betul kecewa dengan diri sendiri sampai menjerit dan tak nak berlakon. Saya minta produksi mencari pelakon lain.
“Penerbit pun cakap dua hari lagi nak pementasan. Ketika itu saya memang rasa kosong.
“Tapi mereka nasihat dan bagi motivasi, jadi saya buat yang sehabis baik,” ujarnya selepas ditemui pada pementasan hari pertama Teater Maduku Kalut di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), malam tadi.
Selain Puteri Sarah, teater terbitan Shawn Amer itu turut menampilkan lakonan Azrel Ismail, Anna Jobling, Syafiq Naser, Aya Amiruddin dan Curly Joe.
Teater Maduku Terpaling Kalut dipentaskan bermula semalam hingga 2 Oktober ini.
Terdahulu, pergolakan rumah tangga antara Puteri Sarah dengan suaminya berlarutan sejak empat tahun lalu selain mengesahkan mereka tidak lagi tinggal sebumbung gara-gara gangguan orang ketiga.
Puteri Sarah sebelum ini mendedahkan orang ketiga yang dikenali sebagai Ira Kazar berterusan mengganggunya dan Syamsul sejak tahun 2019.
Sebelum ini, tular dalam media sosial yang mengatakan pengarah filem Mat Kilau itu sudah pun berkahwin lain, namun sehingga kini perkara tersebut dinafikan Syamsul. – KOSMO! ONLINE