fbpx

Mahkamah: Bekas YDP Kuala Langat mengaku tidak bersalah rasuah RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azhar (dua belakang) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM100,000 antara 2017 dan 2019.

Tertuduh, Dr. Mohd. Azhar Mohamed Ali, 48, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan semua pertuduhan, Mohd. Azhar semasa kejadian menjawat YDP MDKL menerima wang tunai berjumlah keseluruhan RM100,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki berusia 43 tahun yang mengetahui berkaitan kerja rasminya.

Bapa kepada sembilan anak itu melakukan perbuatan itu di MDKL selain di sebuah rumah di Taman Casa Mekar Sungai Merab serta pusat peranginan di Jalan Pulau Carey antara 14 Julai 2017 hingga 30 April 2019.

Justeru, dia melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli menawarkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap awal bulan ke pejabat SPRM terdekat.

Bagaimanapun, Peguam Ariff Azami Hussein memohon jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM25,000 kerana anak guamnya itu menanggung sembilan orang anak dengan lapan daripadanya masih bersekolah.

“Jawatan terakhir tertuduh adalah Pegawai Daerah Hulu Selangor dan sekarang diletakkan di jawatan perkumpulan sejak tahun lalu.

“Anak guam saya menerima gaji asas RM9,000 sebulan tanpa elaun dan kenaikan gaji selain mempunyai masalah pendengaran telinga kiri,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM50,000 bersama penjamin serta membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes pada 26 Oktober.

Sebelum ini, dua bekas YDP masing-masing bagi Hulu Selangor dan Kuala Langat serta Timbalan YDP Sepang telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah wang, tiket kapal terbang, basikal mahal, wang untuk membeli kereta, telefon pintar jenis iPhone untuk isteri dan teman wanita. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI