PETALING JAYA – Fasa Peralihan Monsun yang dijangka bermula pada 3 Oktober ini diramalkan akan berterusan sehingga November depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 14 Mei lalu.
Katanya, semasa Fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang sesuai untuk kejadian ribut petir, lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi hotline jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE