SEREMBAN -Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyantuni warga Rumah Seri Kenangan Seremban, di sini, sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hasil Prihatin di negeri ini.
Pengarah LHDN Negeri Sembilan/ Melaka, Zubaidah Hamzah berkata, pemilihan rumah kebajikan berkenaan adalah bagi menceriakan lagi warga emas serta memupuk semangat CSR dalam kalangan kakitangan LHDN.
Menurutnya, pada tahun ini, LHDN Cawangan Seremban telah memilih untuk memperindahkan lagi kawasan rumah kebajikan berkenaan dengan mengecat dewan serta projek Taman Herba.
“LHDN turut menyalurkan bantuan wang tunai sebanyak RM15,000 kepada Rumah Seri Kenangan Seremban yang ada antaranya dari kutipan dalam kalangan kakitangan sendiri bagi tujuan menampung keperluan warga emas yang berlindung di sini.
“Malah, kita juga memilih projek yang akan dipantau secera berterusan oleh kakitangan LHDN iaitu tanaman 14 jenis pokok yang hasilnya boleh digunakan kembali di rumah kebajikan ini antaranya pokok limau nipis, daun kunyi, basil dan durian belanda,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program CSR Hasil Prihatin Pejabat Pengarah Negeri Sembilan/ Melaka di Rumah Seri Kenangan Seremban, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, dia amat mengalu-alukan penyertaan pelbagai agensi di semua rumah kebajikan di bawah JKM di negeri ini.
Menurutnya, Rumah Seri Kenangan Seremban kini menempatkan seramai 76 penghuni berusia 60 tahun ke atas di mana penghuni tertua mencecah usia 90 tahun.
“Projek Taman Herba yang diwujudkan LHDN ini sedikit sebanyak akan membantu warga emas kekal aktif dan dapat membantu mereka mengisi masa dengan aktiviti lebih berfaedah.
Menurutnya, penghuni di rumah kebajikan berkenaan tidak hanya terdiri daripada penduduk di Negeri Sembilan sahaja, bahkan dari seluruh negara. – KOSMO! ONLINE