PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal memperkasakan lagi tujuh fokus agenda Malaysia Berdaya Huni agar rakyat dapat merasai sentuhan kerajaan.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia selaras dengan tanggungjawab kementerian itu sebagai penyelaras penggerak aspirasi kerajaan persekutuan.
“Fokus utama agenda ini meliputi 32 inisiatif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan berakhir pada 2025,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian di sini hari ini.
Program kali ini juga amat signifikan apabila diadakan bersempena sambutan 365 hari beliau menerajui kementerian itu daripada penyandang sebelumnya, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Pelbagai acara diadakan termasuk pelancaran rasmi mesin layan diri berteknologi tinggi bagi pengumpulan barang kitar semula dengan pemberian ganjaran penebusan kepada pengguna.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, fokus agenda bakal diperkasakan itu digubal bagi ‘merawat’ keresahan rakyat, selain membina semula keyakinan dan menepati ekspektasi rakyat.
“Misalnya, fokus pertama iaitu penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik yang bermutu selaras dengan misi matlamat Perdana Menteri iaitu Satu Keluarga, Satu Rumah.” jelasnya.
Fokus kedua pula ujarnya, mengarusperdanakan pendigitalan penyampaian perkhidmatan semua 151 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberi impak mudah urusan penduduk.
Tidak ketinggalan ialah fokus ketiga iaitu memperkasakan pembangunan komuniti bandar agar tiada sesiapa lagi tercicir termasuk bekerjasama dengan pelbagai kementerian yang lain.
Wira Merah pula katanya, menjadi fokus keempat iaitu mempertingkatkan kesiapsiagaan aktiviti kebombaan dan penyelamatan melalui pendekatan penglibatan masyarakat dan negara.
Kemampanan dan daya tahan bandar hijau jelas Reezal Merican, dijadikan fokus kelima termasuk pelaksanaan Indeks Daya Huni Malaysia untuk mengukur kelestarian komuniti urban.
Sementara fokus keenam pula ialah bagi mentransformasikan pengurusan sisa pepejal ke arah pembangunan ekonomi kitaran dengan bakal ditubuhkan Majlis Ekonomi Kitaran Negara.
“Terakhir iaitu fokus ketujuh berkait sumber manusia, modal insan, bakat, pendekatan dan penyampaian berkesan dan tadbir urus cekap dengan didokong petugas terbaik,” katanya.
Kementerian itu ujar beliau, akan terus proaktif dan responsif terhadap keperluan serta isu kebajikan rakyat pasca pandemik demi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.- KOSMO! ONLINE