fbpx

KPM siasat segenap aspek isu dakwaan culik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMRETPAL Singh (kiri) memberi penerangan kepada Radzi (dua dari kiri) berkaitan pokok cekur pada Program Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Tanjung Malim hari ini.

TANJUNG MALIM – Isu dakwaan culik membabitkan pelajar sekolah yang hangat diperkatakan kini akan diteliti daripada pelbagai aspek oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, maklumat yang diperolehi itu akan dikaji secara menyeluruh untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Menurutnya, dalam kebanyakan kes, didapati terdapat bermacam-macam laporan cubaan culik diberikan pelajar sebelum dibuktikan palsu oleh polis.

“Saya rasa ibu bapa pun inginkan semua anak bercerita secara jujur dan benar, tapi kita juga perlu tahu apakah keadaan di belakangnya (dakwaan culik).

“Umumnya, kanak-kanak ini jujur namun apa keadaan di sebalik hal tersebut, kita perlu semak secara mendalam.

“Kita perlu teliti kebenaran cerita yang dikatakan, sebab itu kita tidak mahu lihat secara luaran sahaja dan terus buat kesimpulan. Kita akan lihat konteks tertentu untuk kita ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai di sini hari ini.

Menurut Radzi, pihaknya juga sentiasa menjalin kerjasama rapat dengan pihak polis dalam usaha memastikan aspek keselamatan dan keberadaan pelajar di sekolah terus terjamin.

“Pelajar-pelajar ini sebenarnya sering diingatkan tentang keselamatan mereka bukan sahaja di sekolah malahan di luar. Perkara berkaitan keselamatan memang kita sentiasa tekankan.

“Apa yang paling penting adalah kesedaran dalam kalangan pelajar ini untuk memahami risiko. Kita tidak kata semua tempat bahaya tetapi memahami risiko adalah tindakan yang wajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI