PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kini tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa esok.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan itu dibuat selaras perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan ketetapan terkini kerajaan berkaitan kelonggaran prosedur operasi standrad (SOP) pencegahan Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam masjid dan surau adalah masih digalakkan.
“Individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga tua serta kanak-kanak amat digalakkan untuk memakai pelitup muka.
“Marilah kita semua berusaha untuk mengimarahkan masjid dan surau pada setiap masa bersama-sama ahli keluarga dan jiran tetangga agar kesejahteraan masyarakat dan negara dapat dibina,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kini atas pilihan berkuat kuasa 7 September lalu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira situasi semasa Covid-19 dalam negara serta penilaian semasa yang dilakukan kementeriannya.- KOSMO! ONLINE