PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan hari ini berhujah hukuman penjara sebulan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam kerana menghina mahkamah membabitkan saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak cukup.
Sebaliknya, hukuman penjara yang dikenakan terhadap Lokman perlu lebih daripada sebulan dan sekurang-kurangnya tiga bulan bagi memberi pengajaran kepada orang awam selain melindungi sistem kehakiman.
Ketika berhujah, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar berkata, hukuman penjara yang lebih lama akan memberi indikasi tiada toleransi diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba untuk menghina mahkamah.
“Kita tidak bertoleransi terhadap tindakan sebegitu yang mengkritik saksi yang memberi kenyataan dalam mahkamah. Lokman membuat kenyataan dalam temu bual yang menjejaskan undang-undang.
“Saksi pergi ke mahkamah untuk beri kenyataan dan mahkamah akan menjalankan tugasnya untuk menegakkan keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berhujah dalam rayuan silangnya terhadap penjara sebulan yang dikenakan terhadap Lokman di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, Datuk Nordin Hassan.
Dalam prosiding hari ini mahkamah turut mendengar rayuan Lokman selaku perayu untuk mengenepikan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya.
Sementara peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman berhujah laporan polis yang dibuat anak guamnya terhadap saksi itu yang juga bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin tidak boleh diklasifikasikan sebagai tindakan menghina mahkamah dan mewujudkan ancaman.
“Lokman hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang awam apabila Amhari menerusi keterangannya mengakui menerima wang dari ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low,” kata Muhammad Shafee.
Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak tiga panel hakim tersebut menetapkan 3 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya.
Pada 15 Julai 2021, Lokman dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, setelah didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi utama Amhari Efendi dalam perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib.
Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam penghakimannya berkata Lokman melakukan penghinaan dengan mengancam Amhari Efendi selain mahkamah mendapati Lokman bersalah kerana menghina mahkamah dan perlu menjalani hukuman penjara selama sebulan.
Hakim itu bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan membabitkan jumlah bon RM3,000 dengan seorang penjamin.- KOSMO! ONLINE