RAUB – Seorang wanita warga Pakistan yang tular kerana dikatakan cuba menculik seorang kanak-kanak di Genting Highlands baru-baru ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini.
Bagaimanapun tiada kertas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya berikutan dia tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta tiada jurubahasa yang fasih dalam dialek Pashto.
Tertuduh, Bibi Nasihat, 42, berasal dari Pakistan diwakili Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, S.Punitha memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM7,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan.
Bagaimanapun Amir Khusyairi memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan hanya seorang penjamin memandangkan hanya terdapat seorang saudara tertuduh di negara ini yang telah mendapat taraf kewarganegaraan.
Katanya tertuduh yang mempunyai anak berusia 12 tahun itu baru kira-kira sebulan datang ke Malaysia kerana mengikut suaminya yang bekerja di sebuah kedai perabot dengan pendapatan kira-kira RM1,600 sebulan.
Berita berkaitan: Polis siasat kes cubaan culik budak di Genting Highlands
“Saya difahamkan kes ini dituduh di bawah Seksyen 350 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan maksimum tiga bulan atau denda RM1,000, saya minta mahkamah mengambil kira kesalahahan kecil walaupun tidak menafikan salah tetap salah tetapi memohon diringankan hukuman.
“Ini kali pertama tertuduh sampai di Malaysia dan kali pertama juga dihadapkan di mahkamah yang memberikan tamparan hebat kepadanya dan kes ini tular di media sosial, jadi mohon jaminan serendahnya,” katanya.
Ahmad Faizadh kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan tertuduh dikenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 1 November depan bagi sebutan semula kes dan tertuduh membayar wang jaminan.
Sebelum ini tular dalam media sosial seorang kanak-kanak dikatakan hampir menjadi mangsa culik di pusat peranginan Genting Highlands oleh seorang wanita warga asing.
Berdasarkan video berdurasi satu minit 20 saat melalui akaun TikTok ‘@ALFITRY_AZMI52’ yang dimuat naik dalam Facebook Daily Traffic Report memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik oleh seorang warganegara asing. – KOSMO! ONLINE