PONTIAN – Sikap bertanggungjawab seorang guru sebuah tadika di daerah ini yang tidak membenarkan individu tidak dikenali mengambil kanak-kanak di bawah jagaannya wajar dipuji.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, guru berusia 30 tahun tersebut didatangi seorang lelaki tempatan yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil ketika berada di tadika berkenaan.
Lelaki itu meminta kebenaran untuk mengambil seorang kanak-kanak namun murid tersebut tidak berada di tadika berkenaan sewaktu kejadian.
Guru itu bertanyakan beberapa soalan antaranya siapa yang mengarahkan dia mengambil dan meminta nama ibu kanak-kanak itu, tetapi lelaki tersebut gagal memberikan penjelasan.
Kejadian itu menjadi kecoh selepas laporan polis yang dibuat oleh guru berkenaan tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya mengesahkan laporan yang dibuat oleh guru itu dan diklasfikasi sebagai tiada tindakan lanjut.
Menurut beliau, sekiranya perkara itu berulang, guru tersebut perlu mendapatkan identiti, pengecaman wajah dan mencatat nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan.
“Dalam masa sama, cuba melengah-lengahkan keadaan dan menghubungi Balai Polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi disini hari ini.
Mengulas lanjut kejadian tersebut, Mohammad Shofee menafikan kejadian tersebut sebagai cubaan menculik kerana pengadu tidak dapat menjelaskan lebih lanjut.
“Jika cubaan menculik, kejadian itu berjaya dipatahkan ketika kanak-kanak tersebut dibawa lari, tetapi dalam kes ini kita pun tidak tahu apa motif sebenar lelaki tersebut,” ujarnya.
Beliau berharap sikap bertanggungjawab sepertimana guru tersebut boleh diikuti oleh mana-mana guru tadika dengan tidak sewenang-wenang mempercayai mana-mana individu untuk menbawa kanak-kanak mereka keluar. – KOSMO! ONLINE