Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Seramai 363 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan kesalahan tertinggi iaitu tidak memakai pelitup muka 144 kes.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 307 individu telah dikompaun manakala 56 direman.
Beliau berkata, antara kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan serta rekod butiran diri (129), penjarakan fizikal (53), premis beroperasi lebih masa (17) dan aktiviti dalam pub dan kelab malam (15).
“Selain itu, dua tangkapan direkodkan kerana masuk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) selain masing-masing satu tangkapan membabitkan langgar perintah kuarantin, menjalankan aktiviti perjudian dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, seramai 151 pendatang tanpa izin (PATI) dan seorang tekong ditahan dalam Operasi Benteng semalam termasuk merampas lima kenderaan darat.
Dalam pada itu, katanya, seramai 42,000 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa bermula 24 Julai hingga semalam.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,659 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 13 operasi sanitasi awam dilakukan semalam membabitkan tujuh buah negeri iaitu Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Pahang dan Negeri Sembilan.-K!ONLINE