KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, sejumlah RM2.23 bilion ‘mencurah masuk’ ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk daripada dua syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian Ambank, Yap Wai Keat, 57, berkata, sejumlah RM2.17 bilion diterima daripada Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corp. di antara 2012 dan 2013.
Ujar saksi pendakwaan ke-38, Tanore Finance Corp. mendepositkan sejumlah RM2.08 bilion ke dalam akaun bekas Perdana Menteri melalui sembilan transaksi manakala Blackstone memasukkan sebanyak RM90.89 juta.
Tanore ialah syarikat yang dikawal oleh sekutu perniagaan Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong.
Wai Keat berkata, sejumlah RM60.6 juta didepositkan ke dalam akaun Najib oleh kerabat Diraja Arab Saudi, Putera Faisal Turkey Bandar Al Saud melalui dua transaksi pada Februari dan Jun 2011.
Saksi berkenaan menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.
Pada perbicaraan itu, Wai Keat berkata, maklumat berhubung wang yang akan dipindahkan disampaikan oleh Bahagian Kiriman Wang Ambank dan Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu bagi membolehkan maklumat itu dipanjangkan kepada Najib.
Ujar saksi, Joanna mengarahkannya melaksanakan penukaran wang daripada USD kepada MYR selepas mendapat kelulusan daripada pelanggan.
“Selepas itu, jabatan saya memasukkan data yang berkaitan ke dalam sistem yang dikenali MUREX di mana penukaran dilakukan mengikut kadar yang dipersetujui seperti dalam kontrak.
“Kemudian, jabatan saya menghubungi Bahagian Kiriman Wang dan memaklumkan nombor kontrak dan kadar pertukaran.
“Dalam hal ini, jabatan saya bertindak mengikut arahan seperti yang diarahkan oleh Joanna selepas menerima arahan daripada pelanggan,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Wai Keat memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib, 69, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – KOSMO! ONLINE