PETALING JAYA – Mungkin ada antara kita pernah mengalami pengalaman ‘dipau’ teman.
Situasi ini sesekali mungkin boleh dilihat sebagai berkongsi rezeki namun boleh menimbulkan rasa kurang senang jika berlaku berkali-kali tanpa timbang rasa.
Menerusi perkongsian di TikTok milik Amirahferdi, dia bercerita tentang salah seorang pengikutnya yang mengadu bahawa dia sering ‘dipau’ teman.
“Ada budak ni umur 40 tahun dia hubungi aunty (makcik), dia kata dah sampai tahap malas nak keluar dengan kawan-kawan sebab selalu ajak lepak tapi akhirnya lepas makan mereka harap dia yang bayar.
“Dia kata kawan semua dah kahwin ada anak, kereta dan rumah besar tapi selalu nak ‘pau’ dia dan ada masa kawan kata tak bawak beg duit,” katanya.
Secara langsung, Amirahferdi berkongsi tip bagaimana cara terbaik untuk berdepan dengan golongan seperti ini sekaligus berkongsi pengalamannya berdepan dengan situasi sama.
“Kalau orang ajak keluar cakap je terus cakap terima kasih dan tanya siapa nak belanja atau cakap tak mahu selalu dia je belanja secara jujur dan jangan keluar dengan orang macam tu lagi.
“Dulu masa di Vietnam pernah kawan aunty ajak teman tidur sebab kawan sebilik dia tak muncul tapi esok hari dia minta aunty bayar bilik tu sedangkan aunty dah ada bilik sendiri. Dia cakap kedekut dan aunty cakap awak orang pertama yang cakap begitu,” katanya.
Tambahnya, golongan seperti ini bertindak demikian berdasarkan keperibadian dan ia adalah terjemahan sebenar diri sendiri.
“Orang yang kedekut akan rasa dan cakap orang lain kedekut. Orang jahat akan rasa orang Iain jahat dan yang dengki akan rasa orang dengki dengan dia. Perasaan tu datang daripada diri sendiri dan ia merupakan karakter diri,” katanya.
Hantaran video yang menerima 10,200 tanda suka dan 1130 komen itu turut mendapat reaksi netizen yang berkongsi pengalaman sama.
“Betul. Ada kawan tak rasa bersalah pakai duit kita walaupun kerja hebat-hebat. Dah kahwin masih tak ganti sekarang dah serik,” kongsi Ramly Burger.
“Saya sentiasa dalam situasi ni tapi saya redha semoga Allah murahkan rezeki tapi saya dah berhenti berjumpa mereka,” kata Damia Millatina pula. – KOSMO! ONLINE