SEREMBAN – Seorang ibu trauma selepas berdepan insiden membimbangkan apabila seorang lelaki tidak dikenali mendekati anak-anaknya ketika bermain di sebuah taman permainan di Taman Desa Cempaka, Nilai di sini kelmarin.
Norazlina Hussain, 38, berkata, ketika kejadian, ibunya membawa dua anaknya dan seorang seorang anak saudaranya berusia tiga hingga tujuh tahun ke taman permainan itu pada pukul 6 petang.
“Bagaimanapun, pada pukul 6.30 petang, saya tergerak hati untuk ke taman tersebut dan ternampak seorang lelaki tidak dikenali memegang buaian anak saya dan memberikan gula-gula kepada mereka.
“Saya kemudian cuba mendekati dan mengambil anak-anak secara perlahan-lahan kerana khuatir lelaki berkenaan mempunyai senjata.
“Saya terus membawa anak-anak pulang ke rumah dengan segera. Pada waktu itu, dua anak saya sempat makan gula-gula tersebut, namun tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, selepas pulang ke rumah, dia memaklumkan kepada suaminya mengenai kejadian itu dan selepas waktu maghrib, suaminya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
Walau bagaimanapun tiada kertas siasatan dibuka.-KOSMO! ONLINE