fbpx

Lelaki OKU sorok “gelang pink” ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki OKU tersebut di luar sebuah pasaraya selepas menerima aduan daripada orang awam di Banda Hilir di sini, malam tadi.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Taktik seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) menyorokkan gelang merah jambu di bawah tali jam tangannya gagal selepas dia ditahan polis di sebuah pasar raya di Banda Hilir, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki OKU pendengaran itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi dan mendapati terdapat seorang lelaki memakai gelang tangan berwarna merah jambu di bawah Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Dirumah (HSO).

“Hasil soal siasat, lelaki berusia 43 tahun itu telah melanggar perintah tempoh kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu bermula dari 30 September lalu hingga 15 Oktober ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, lelaki tersebut cuba menyorokkan gelang merah jambu itu di bawah jam tangannya, namun dikesan oleh orang awam yang panik sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Jelasnya, ketika ditahan, lelaki tersebut bersama isterinya berusia 34 tahun, namun wanita itu tidak memakai gelang merah jambu.

Katanya, lelaki tersebut juga gagal mengemukakan surat pelepasan perintah kuarantin dari Kementerian Kesihatan dan mengakui belum membuat ujian calitan Covid-19 kali kedua.

“Lelaki itu kemudian telah dibebaskan dengan jaminan polis sehingga tamat tempoh kuarantin dirumah.

“Dia dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan kertas siasatan akan dilengkapkan oleh pihak polis sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI