KETUA jurulatih baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe berharap anak-anak buahnya tidak menunggu lama untuk ‘menyerap’ ilmu serta taktikal yang bakal diberikan menjelang aksi debut menentang Melaka United pada saingan Liga Super Sabtu ini.
Kata Cheng Hoe, dalam masa terdekat ini, sudah tentu fokus adalah untuk memastikan pasukan dapat mengharungi baki saingan Liga Super dengan keputusan positif, selain mengenali pemain dengan lebih dekat.
“Pada minggu pertama sesi latihan ini, saya akan melakukan lebih penekanan untuk barisan pemain memahami falsafah bola sepak yang cuba saya terapkan.
“Selain itu, saya juga cuba untuk memahami setiap individu dalam pasukan kerana semua pemain ada karakter masing-masing dan berusaha untuk memastikan mereka dapat bekerja dalam satu unit.
“Saya pasti dengan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak termasuk barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan, kita dapat mengakhiri kempen Liga Malaysia musim ini dengan langkah positif,” katanya.
Sebagai rekod, pengurusan Gergasi Merah membuat keputusan mendapatkan sentuhan bekas pengendali skuad kebangsaan minggu lalu bagi memulihkan kembali reputasi pasukan yang ag ak bergelut sepanjang tahun ini.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Kedah itu mengakui, cukup bertuah menjadi insan terpilih bagi membimbing pasukan Merah Kuning yang kaya dengan sejarah tersendiri.
“Jika dilihat secara keseluruhan, Selangor ada potensi untuk berkembang pada masa depan. Saya pasti, jika diberi peluang, ramai jurulatih di luar mahu menjadi pengendali pasukan ini.
“Cuma, untuk jangka masa pendek, jangkaan tidak boleh diletakkan terlalu tinggi.
“Tetapi saya yakin dan percaya boleh membawa pasukan ini berada di tahap lebih baik nanti,” katanya.