fbpx

Tidak tahan diugut selepas tular, pelanggan ‘p-hailing’ lapor polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar seorang lelaki dipercayai bertengkar dengan seorang penghantar makanan p-hailing baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pelanggan yang tular berselisih faham dengan seorang penghantar makanan p-hailing membuat laporan polis selepas menerima ugutan daripada orang tidak dikenali menerusi media sosial dalam kejadian pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, laporan diterima daripada seorang lelaki berusia 27 tahun itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, semalam sekitar pukul 11.10 pagi.

“Ugutan diterima selepas satu video yang menunjukkan rakaman wajah mangsa berselisih faham dengan seorang penghantar makanan telah tular dalam aplikasi media sosial.

“Akibat daripada video yang tular tersebut, mangsa telah menerima pelbagai mesej berbaur ugutan daripada individu tidak dikenali melalui aplikasi media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fakhruddin, kes telah disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Sehubungan itu, katanya, polis menyeru saksi awam yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.

Katanya lagi, polis juga menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden video yang tular tersebut.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tindakan disiplin telah dikenakan ke atas kakitangan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) yang bertengkar dengan seorang pekerja penghantar makanan p-hailing ekoran isu kelewatan, baru-baru ini.

Pengurusan MUST dalam kenyataannya di Facebook berkata, pihaknya berdiri teguh mengutuk perbuatan tersebut dan mengecam tindakan tidak bermoral individu terbabit. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI