fbpx

Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima warga Indonesia ditahan menceroboh perairan negara di Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia yang dinaiki lima warga negara terbabit selepas didapati menceroboh perairan negara semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan di kedudukan 52 kilometer barat daya Pulau Kendi sekitar pukul 4.10 petang.

Menurutnya, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara oleh KM SIKUATI semasa rondaan Op Tanjung.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, bot berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara itu dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk tekong berumur 16 hingga 21 tahun.

“Kesemua mereka tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tiga daripada kru juga didapati masih di bawah umur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) kerana memperdagangkan kanak-kanak.

“Ini adalah tangkapan kedua membabitkan bot nelayan asing dari Indonesia untuk bulan ini di perairan Pulau Pinang.

“Tangkapan pertama adalah pada 14 September oleh KM NYALAU sekitar 94 kilometer barat daya Pulau Kendi,” katanya.

Tambahnya, bot bersama kru termasuk tekong kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI