fbpx

Patenkan batik asli Terengganu elak diciplak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAIN batik Siam yang dilabelkan sebagai batik asli Terengganu sehingga boleh mengelirukan pengguna.

KUALA TERENGGANU – Pe­ngusaha dan pengeluar batik asli Terengganu disaran agar segera mendaftarkan produk me­reka dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, pendaftaran menerusi MyIPO itu bertujuan membolehkan produk keluaran pengusaha dan pengeluar batik asli Terengganu berkenaan mendapatkan perlindungan undang-undang sewajarnya.

“Tindakan menipu pengguna boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang memalsukan atau membuat produk tiruan menyerupai produk asli setelah produk (batik) itu dipatenkan.

“Pihak yang menghasilkan produk tiruan tidak akan terlepas daripada tindakan pe­nguatkuasaan KPDNHEP tidak kira barangan itu dihasilkan di dalam mahu pun luar negara,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin berhubung keluhan pengusaha dan pengeluar batik asli Terengganu kini tertekan dengan lambakan batik Siam di pasaran tempatan sehingga menjejaskan jualan mereka.

Sikap tamak segelintir pe­niaga yang melabelkan batik Siam itu sebagai batik asli Terengganu telah mengelirukan ramai pengguna sedangkan perbezaan kualitinya ketara.

Azman menerangkan, paten merupakan hak eksklusif diberikan terhadap suatu reka cipta, sama ada suatu produk ataupun proses menghasilkan cara baharu bagi membuat sesuatu atau penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah.

Jelas beliau, pendaftaran pa­ten membolehkan produk dan reka cipta tersebut dilin­dungi selama 20 tahun dari tarikh pemfailan.

“Begitu pun, semakan kami mendapati setakat ini tiada mana-­mana pengusaha dan pengeluar batik asli Terengganu yang mendaftarkan produk mereka dengan MyIPO.

“Ketiadaan pendaftaran pa­ten tersebut telah menyukarkan penguat kuasa KPDNHEP untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana penjual produk dikatakan tiruan,” katanya.

Sehubungan itu, Azman secara serius menyarankan pe­ngusaha dan pengeluar batik asli Terengganu berkenaan agar segera mendaftarkan produk mereka dengan MyIPO bagi mendapatkan perlindungan.

Beliau berkata, KPDNHEP sentiasa mengadakan kempen-kempen untuk pengeluar produk mendaftarkan paten mereka dengan MyIPO. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI