WASHINGTON – Usaha keras seorang lelaki memulakan kerjaya semasa pandemik Covid-19 menyerang dunia pada 2020 membuahkan hasil selepas menghantar 600 e-mel dan 80 panggilan memohon pekerjaan, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Graduan Universiti Yale, Vatsal Nahata berkata, dia mula resah apabila tidak mendapat sebarang tawaran kerja menjelang dua bulan tarikh graduasinya.
“Saya sudah menetapkan tidak akan pulang ke India terlebih dahulu dan gaji pertama saya mesti dibayar dalam mata wang Dollar.
“Tiada guna saya belajar di Yale jika tidak mampu mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian,” kata Vatsal.
Menurut Vatsal, dalam masa dua bulan, dia menghantar lebih 1,500 permohonan kerja, menulis 600 e-mel tanpa balasan, membuat 80 panggilan telefon dan berdepan banyak penolakan daripada pelbagai jenis syarikat.
Namun, kegigihannya menghantar begitu banyak permohonan kepada pelbagai jenis syarikat membuahkan hasil apabila mendapat empat tawaran kerja pada bulan Mei.
“Saya memilih tawaran terbaik iaitu di Bank Dunia yang sanggup menaja perbelanjaan visa dan menawarkan saya menjadi pengarang bersama bagi kajian Pembelajaran Mesin dengan Pengarah Penyelidikan Bank Dunia semasa,” ujarnya.
Tujuan berkongsi pengalamannya dengan dunia adalah untuk menggalakkan orang ramai supaya tidak berputus asa.
“Jika anda melalui sesuatu yang serupa di mana dunia seolah-olah runtuh menimpa anda, teruskan perjalanan dan jangan mudah menyerah kalah.
“Hari yang lebih baik akan datang jika anda belajar daripada kesilapan dan jika anda sanggup ‘mengetuk’ pintu peluang dalam kuantiti yang mencukupi ,” tuturnya. – Agensi