fbpx

PRU, Ramli MS punca konsert Noraniza Idris kena tangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORANIZA IDRIS

PETALING JAYA – Selepas mengambil kira pelbagai faktor, penghibur popular irama Malaysia, Noraniza Idris terpaksa menunda Konsert Malai Solo yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 21 hingga 23 Oktober depan.

Noraniza dalam satu kenyataan berkata, penganjuran konsert mega tersebut terpaksa ditangguh selepas mengambil kira beberapa sebab utama iaitu pilihan raya umum dan ketiadaan pengarah muzik.

“Penganjuran ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain atas beberapa faktor tidak dapat dielakkan dalam persediaan program Konsert Malai Solo seperti pelaksanaan pilihan raya umum yang berkemungkinan besar diadakan dalam tempoh tersebut.

“Perkara tersebut menyukarkan penyusunan atur cara konsert daripada aspek jemputan tetamu termasuk menteri dan wakil kementerian yang menjadi salah satu tunggak utama kepada penganjuran konsert ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, ketiadaan pengarah muzik yang dilantik, Datuk Ramli MS pada hari konsert berlangsung juga turut mempengaruhi keputusan tersebut.

“Ketiadaan pengarah muzik, Datuk Ramli MS yang terlibat dalam penjurian program televisyen, Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan juga antara faktor utama.

“Astro tidak membenarkan dia terbabit dengan produksi luar sepanjang berada dalam kontrak bersama mereka,” ujarnya lagi.

Selain dua faktor tersebut masalah kesihatan penyanyi dan tidak mempunyai masa cukup bagi melakukan persedian turut menjadi penghalang konsert.

“Noraniza gagal mengurangkan beberapa komitmen aktiviti seni termasuk penganjuran acara Akar Karya Zapin hingga menjejaskan kesihatan, sekali gus mengganggu jadual latihan yang ditetapkan lebih awal.

“Selepas dinasihati beberapa pihak dan membuat pertimbangan, produksi membuat keputusan menangguhkan konsert ini buat sementara waktu sehingga tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian,” kongsinya.

Sebelum ini, isu harga tiket yang dikatakan terlampau mahal juga sering dibangkitkan netizen namun perkara tersebut dibidas Noraniza kerana bakal menyajikan kelainan kepada penonton.

Untuk rekod, Konsert Malai Solo dijadualkan berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya selama tiga malam berturut-turut.

Konsert pertama Noraniza itu bakal menggunakan khidmat 300 individu termasuk barisan pemuzik kelas A bertaraf filharmonik, kemunculan 40 pasukan artis budaya tetap dan kumpulan tenaga kreatif yang mahir dalam teknologi persembahan.

Tiket konsert berkenaan dijual bermula pada harga RM299 sehingga RM1,599. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI