fbpx

Ekonomi negara kurang memberangsangkan – MPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin ketika bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN hari ini.- FOTO/ FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggambarkan kedudukan ekonomi negara ketika ini kurang memberangsangkan walaupun terdapat peningkatan sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebanyakan pakar ekonomi menjangkakan Malaysia akan mengalami kemelesetan pada tahun hadapan.

Beliau berkata, turut diramalkan kedudukan fiskal kerajaan juga dijangka agak terbatas pada tahun-tahun hadapan.

“Keadaan ini akan menghadkan tindakan merangsang ekonomi menerusi pakej-pakej rangsangan dan bantuan rakyat sebagaimana dilaksana kerajaan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan MPN di sini, hari ini.

Katanya, sebarang kelewatan di pihak kerajaan dalam memacu pemulihan negara akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

Muhyiddin berkata, sekiranya negara tidak berada pada landasan pemulihan yang kukuh pada tahun ini, cabaran yang akan dihadapi oleh rakyat dan negara pada tahun hadapan adalah lebih meruncing.

Menurutnya, beliau berharap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat memperkenalkan langkah yang lebih berkesan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Rakyat ketika ini banyak terbeban akibat kenaikan harga barang dan kadar inflasi.

“Saya berharap kerajaan menerusi Bajet 2023 akan dapat mengemukakan langkah seimbang dalam mengawal kenaikan kadar inflasi, mengatasi kejatuhan nilai ringgit, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat yang susah,” katanya.

Katanya, MPN sejak dari awal lagi telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mengatasi masalah gangguan bekalan yang menjejaskan produktiviti, meningkatkan kadar inflasi dan memperlahan proses pemulihan negara.

Berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 23 September lalu, kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 4.7 peratus pada bulan Ogos 2022, berbanding 4.4 peratus pada bulan Julai.

Inflasi makanan mencatatkan peningkatan yang paling tinggi, iaitu 7.2 peratus berbanding pada bulan Julai iaitu 6.9 peratus dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI