LIVERPOOL – Bekas pemain Liverpool, Salif Diao mendakwa Jurgen Klopp menjadi punca utama bekas pemain tonggaknya, Sadio Mane untuk berhijrah ke Bayern Munich selepas merasakan dirinya tidak dihargai.
Sejak menyertai The Reds pada 2016, Mane menjaringkan 120 gol dalam 269 penampilan untuk memenangi pelbagai trofi utama bersama Liverpool, namun Diao menganggap hubungan penyerang itu dan Klopp menjadi faktor utama penghijrahan itu.
“Saya telah berada di sini untuk tempoh beberapa tahun dan saya fikir Mane tidak menerima kasih sayang yang sepatutnya dia terima. Saya tidak bercakap tentang penyokong, tetapi lebih menjurus kepada pengurus pasukan.
“Liverpool tidak melakukan apa yang sepatutnya dan sebab itu Mane ambil keputusan untuk mencari cabaran baharu. Saya fikir dia adalah pemain terhebat dan apabila kamu sudah bersama pasukan terbaik untuk empat hingga lima tahun, adakalanya menjadi sesuatu yang bagus untuk mencari cabaran baharu,” katanya.
Ketika ini, Mane sudah pun menjaringkan lima gol dalam 11 penampilan bersama Bayern Munich, sebaliknya The Reds sedang bergelut apabila penyerang baharu, Darwin Nunez masih lagi bergelut untuk menjadi calon ganti kepada bintang Senegal itu.
Diao juga beranggapan Nunez akan mengambil sedikit masa untuk berada pada prestasi terbaik dan Liverpool juga memerlukan tempoh untuk benar-benar keluar daripada situasi dihadapi sekarang.
“Semua orang tahu ia akan menjadi sukar bagi mana-mana pemain yang menyertai pasukan dan menggantikan tempat ditinggalkan Mane,” jelasnya. – AGENSI