fbpx

Nasyid masih relevan, terus sebar dakwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumpulan nasyid, Raihan
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

DALAM tempoh 10 tahun, industri muzik tanah air berkembang pesat dengan kehadiran 1,001 genre dan jenis yang meresapi kedalamnya.

Tanpa sedar, dalam lambakan kemasukan pelbagai jenis muzik itu, sepertinya nasyid kurang diberi perhatian. Ibaratnya ada dalam tiada.

Pada era 1990-an, irama nasyid pernah mencetuskan fenomena di Malaysia. Kumpulan Raihan, Hijaz dan Rabbani dianggap pelopor yang mengangkat dakwah dalam muzik arus perdana.

Bagaimanapun, kegemilangan irama nasyid kian suram, seolah-olah tidak mampu bertahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menyorot kembali, nasyid merupakan salah satu medium dakwah para penyanyi untuk membawa pendengar mendekatkan diri dengan Maha Pencipta.

Namun, dengan pelbagai kemunculan teknologi dan medium lagi, nasyid seperti dipinggirkan.

Sekitar beberapa tahun lalu, anak-anak seni mula muncul dengan lagu berkonsepkan ketuhanan yang bukan dinyanyikan oleh penyanyi nasyid.

Perkara sebegitu sedikit sebanyak mengganggu momentum muzik dan penyanyi nasyid itu untuk kembali gah di persada seni tanah air.

Meskipun begitu, secara rea­litinya, lagu-lagu nasyid yang pernah popular satu ketika dahulu sebenarnya tidak pernah pudar daripada ingatan pende­ngar, masih malar segar cumanya mungkin kurang berkumandang di corong-corong radio.

Memberi pandangan menge­nai hal tersebut, kumpulan ­nasyid popular, anggota kumpulan Hijjaz berkata, keberadaan mereka selama 30 tahun dalam industri sehingga hari ini membuktikan nasyid tidak pernah terpadam dalam ingatan ramai.

Mewakili kumpulan Hijjaz, Munif Ahmad memberitahu, menjaga penampilan sebagai penyanyi nasyid antara cara untuk kekal relevan dalam industri.

“Bagi saya, untuk kekal berada dalam persada seni suara, perlu jaga istiqamah dan penampilan kerana dari titik tersebut imej nasyid diingati.

“Lebih 30 tahun bergelumang dalam industri, saya masih kekal dengan imej sebegini. Jika ada perubahan, mungkin susah nak relevan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpendapat penyanyi nasyid juga bergerak sebagai pendakwah dalam bidang nyanyian.

“Selagi niat kami utuh untuk menyebarkan dakwah dan hal-hal yang baik, nasyid tidak akan sesekali hilang.

“Walaupun zaman berubah, jika penghibur nasyid masih menjaga tatasusila, Insya-Allah genre ini akan terus kekal,” ujarnya.

Sementara itu, menurut pe­nyanyi dan pendakwah, Akhil Khay, penghibur nasyid perlu kekal dalam momentum dan niat asal iaitu memberi kebaikan kepada ummah.

“Bagi saya, penyanyi nasyid sendiri perlu meletakkan Tuhan dan agama sebagai keutamaan sebelum berkarya.

“Biarlah datang apa sahaja pelbagai jenis irama, nasyid akan tetap duduk dalam zon mereka.

“Persoalan relevan ini subjektif, muzik nasyid juga sebenarnya perlu kembali kepada zaman ke­gemilangan. Jika terlalu banyak elemen baharu diterapkan, akan ganggu identiti asalnya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI