TEHRAN – Protes di Iran merebak ke hampir semua 31 wilayah dan seluruh bandar utama di negara itu sejak insiden kematian gadis berusia 22 tahun, Mahsa Amini ketika berada dalam tahanan polis, lapor akhbar Arab News kelmarin.
Pada 13 September lalu, Mahsa ditahan polis moral di sebuah stesen kereta api kerana didakwa melanggar etika pemakaian hijab.
Selepas ditahan, dia dimasukkan ke hospital, berada dalam keadaan koma dan meninggal dunia tiga hari kemudian dengan pihak berkuasa Iran mendakwa bahawa Mahsa mati akibat serangan jantung.
Keluarganya bagaimanapun menyatakan, gadis tersebut tidak pernah mengalami masalah jantung sebelum itu.
Kematian Mahsa mencetuskan kemarahan di Iran, ditambah lagi dengan ketidakpuasan hati rakyat mengenai pelbagai isu berkaitan sosioekonomi.
Ketika demonstrasi berterusan, ramai wanita bertindak memotong rambut mereka sebagai membantah kejadian yang menimpa Mahsa. Ada antara mereka malah, menanggalkan tudung serta membakarnya selain menari di jalan-jalan.
Polis berkata, mereka terpaksa mengawal tunjuk perasaan dengan menggunakan gas pemedih mata. Sebilangan penunjuk perasaan turut dipukul. Sekurang-kurangya 41 orang dilaporkan terkorban dalam pertempuran dengan pihak berkuasa setakat ini.
“Kami berharap kerajaan dapat menawarkan konsesi kali ini. Ia merupakan demonstrasi terbesar sejak revolusi. Kami berbangga dengan apa yang berlaku di Iran (tunjuk perasaan),” kata seorang wanita dari Iran, Mehdi, yang melarikan diri ke Amerika Syarikat semasa Revolusi Islam.
Sejak Revolusi Islam tercetus pada 1979, undang-undang syariah di negara itu menetapkan bahawa wanita diwajibkan memakai tudung beserta pakaian longgar di tempat awam. Mereka yang ingkar berdepan denda atau hukuman penjara.
Menjelang 1981, wanita Iran tidak dibenarkan mendedahkan tangan mereka di tempat awam. Pada 1983, Parlimen menetapkan bahawa wanita yang tidak memakai tudung di tempat awam berdepan hukuman sebat sebanyak 74 kali.
Baru-baru ini, hukuman itu ditambah kepada penjara sehingga 60 hari.
Di bawah pemerintahan Presiden Ebrahim Raisi, undang-undang tersebut didakwa semakin tegas dan memberi lebih kuasa kepada polis moral apabila Ebrahim pada Ogos lalu menandatangani dekri pelaksanaan undang-undang lebih ketat yang memerlukan wanita memakai tudung sepanjang masa di tempat awam. – Agensi