fbpx

Generasi milenial sukar kawal kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur di luar butik H&M di Moscow, Russia pada 3 Ogos 2022. – AFP

LONDON – Satu kajian mendapati golongan milenial berasa sukar untuk mengawal kewangan mereka berbanding generasi lain ketika dunia berdepan krisis kenaikan kos sara hidup, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Kaji selidik oleh laman web OnePoll bagi pihak aplikasi pelaburan, Moneybox itu melibatkan 3,000 responden dewasa di seluruh Britain.

Ia mendapati sebanyak 55 peratus daripada individu milenial yang lahir antara tahun 1981 hingga 1996, bergelut untuk mengekalkan kewangan yang stabil berbanding 44 peratus responden daripada generasi lain.

Tujuh dalam 10 responden mengakui kenaikan kos sara hidup telah memberi kesan buruk terhadap matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang mereka. Tiga daripada 10 responden milenial pula mengaku impak tersebut amat ketara.

Selain itu, hampir dua pertiga (65 peratus) daripada responden milenial mengaku lebih mementingkan perancangan untuk masa depan berbanding sebelum ini.

Meskipun di sebalik ketidaktentuan ekonomi yang berlaku, sebahagian besar responden (73 peratus) yakin bahawa krisis kos sara hidup tidak menghalang mereka daripada mencapai matlamat kewangan jangka panjang.

Bagaimanapun, ketika menyentuh mengenai perancangan persaraan, kajian tersebut mendedahkan bahawa lebih separuh atau 55 peratus responden mengaku berasa resah memikirkan mengenai prospek tersebut selain menyesal kerana tidak merancang kewangan lebih awal.

“Meskipun kini anda tidak mampu menyimpan sebanyak yang mungkin untuk matlamat jangka panjang, sejarah menunjukkan bahawa akan sentiasa berlakunya tempoh pertumbuhan dan kemelesetan ekonomi. Justeru, kunci kejayaan adalah tidak mengabaikan kewangan masa depan anda.

“Walaupun menabung untuk tempoh persaraan mungkin tidak menjadi keutamaan buat masa ini, kebolehan mengawal wang simpanan dan belajar membuat perancangan awal boleh memudahkan anda menyimpan apa yang diperlukan untuk persaraan ideal,” kata Pengarah Urusan Pelaburan, Persaraan dan Simpanan Moneybox, Caroline Murphree.

Sementara itu, kajian yang sama turut mendapati bahawa kurang empat daripada 10 milenial benar-benar memahami perbelanjaan bulanan mereka dan hanya 28 peratus yang sentiasa membuat bajet bulanan bagi membantu kewangan.

Bahkan, hanya 27 peratus mempunyai tabung kecemasan dengan nilai bersamaan sekurang-kurangnya perbelanjaan selama sebulan.

Namun, dari sudut positif, generasi milenial didapati cenderung untuk mengambil langkah proaktif bagi mengembalikan matlamat kewangan mereka ke landasan yang betul berbanding purata rakyat Britain.

Ia mendorong 53 peratus generasi tersebut mengurangkan perbelanjaan mewah, 52 peratus memulakan kerja sampingan, 35 peratus meminta gaji dinaikkan serta 32 peratus bertukar pekerjaan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI