NAIROBI, KENYA – Sekurang-kurangnya 11 orang mati dibunuh geng pencuri lembu dalam satu insiden serang hendap di utara Kenya, kata polis seperti dilaporkan Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Lapan anggota polis, dua orang awam dan seorang ketua tempatan dilaporkan antara yang menjadi mangsa dalam keganasan di daerah Turkana itu pada Sabtu lalu.
Anggota-anggota Perkhidmatan Polis Negara kini memburu geng pencuri lembu itu yang bertindak menyerbu sebuah kampung dan mencuri haiwan ternakan milik penduduk.
Pertempuran berkaitan haiwan ternakan dan air sering berlaku di kawasan tersebut, yang kini berdepan dengan krisis iklim yang semakin buruk.
Polis Kenya menggelar serangan tersebut sebagai ‘serang hendap penjenayah dan pengecut’ ke atas orang awam dan anggota polis.
Susulan kejadian itu, beberapa anggota tambahan telah dikerah ke perkampungan di Turkana Timur bagi meningkatkan keselamatan dan meneruskan pemburuan suspek yang bertanggungjawab, yang didakwa merupakan ahli kumpulan etnik Pokot.
Bulan lalu, tujuh orang mati terbakar di daerah sama ketika diserang oleh militan Pokot. – Agensi