MELAKA – Seorang lelaki berputih mata apabila kereta miliknya dihantar ke sebuah pusat servis kenderaan untuk diselenggara di Ayer Keroh di sini hilang.
Mangsa, Tay Han Sin, 49, mendakwa, kejadian berlaku pada 25 Ogos lalu selepas dia menghantar kereta jenis Lexus RX300 F Sport untuk penyelenggaraan kali kedua di premis sama.
Menurutnya, beberapa jam selepas itu dia dimaklumkan kenderaannya dibawa keluar oleh seseorang selepas selesai proses penyelenggaraan.
“Saya berasa terkejut apabila pusat servis memaklumkan saya telah mengambil kereta, sedangkan saya baru hendak berbuat demikian.
“Semakan ke atas televisyen litar tertutup (CCTV) di premis itu mendapati terdapat seorang lelaki tidak dikenali mengambil kunci kereta tersebut,” katanya ketika ditemui di hadapan pusat servis itu hari ini.
Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung kehilangan kenderaan tersebut.
“Saya hanya sempat menggunakan kereta itu selama enam bulan, saya perlu membayar ansuran lebih RM2,000 sebulan meskipun ia gagal dikesan sehingga kini,” katanya.-KOSMO! ONLINE