PETALING JAYA – “Begitu syulit lupakan Rehan, Apa lagi Rehan baik”.
Demikian bait-bait lirik lagu Cukup Dikenang Saja yang trending dalam kalangan pengguna media sosial selepas nyanyian semula oleh Intan Lembata Bunting tular di platform Instagram dan TikTok apabila tampil dalam versi sendiri.
Tambah lucu, dia mengubah lirik dengan menggunakan nama Rehan iaitu lelaki yang pernah muncul dalam mimpinya sebelum ini serta kepelatannya dalam nyanyian turut menjadi tarikan.
Bagaimanapun, Public Health Malaysia (PHM) di Twitternya semalam menjelaskan bahawa jika seseorang itu mengalami gejala seperti teringat dan sentiasa memikirkan sebuah lagi yang sama berulang kali adalah dikaitkan dengan masalah ‘earworms’.
“Adakah lirik ‘bagitu sulit lupakan Rehan’ masih berputar di minda tanpa henti?.
“Ia adalah situasi yang dinamakan ‘earworms’ iaitu apabila lagu yang tidak diingini yang berulang di kepala anda sehingga mengganggu ketenteraman,” ciapnya semalam.
Tambah PHM, antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk menghentikan bait lirik lagu tersebut terus menghantui pemikiran adalag dengan mendengar keseluruhan lagu tersebut.
“Kemudian, tambah variasi lagu dalam fikiran dan cuba untuk abaikan liriknya.
“Sementara itu, boleh amalkan mengunyah gula-gula getah serta sibukkan diri dengan aktiviti lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE