SHAH ALAM – “Saya banyak belajar di sini (Gegar Vaganza). Alhamdulillah saya sudah boleh balik”.
Itu ungkapan dari bibir penyanyi Roy Kapilla apabila tersingkir pada konsert minggu kedua, sekali gus menjadi peserta pertama yang terkeluar daripada program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), malam tadi.
Roy yang ditemui sebentar tadi bersyukur dan gembira apabila diberi peluang untuk membuat kemunculan semula menyertai GV9.
“Walaupun singkat, banyak perkara yang kami pelajari. Terima kasih kepada semua keluarga besar GV9.
“Saya sudah pun buat yang terbaik dan berjuang, namun rezeki kami sampai di sini sahaja,” ujar Roy.
Biarpun cuma mampu bertahan hingga konsert minggu kedua sahaja, Roy berkata dia amat berpuas hati kerana mampu bersaing dengan nama-nama besar penyanyi lain.
Konsert minggu kedua GV89 bertemakan Malar Segar Mekar Membara menyaksikan penyanyi Tomok menduduki tempat pertama dengan markah oleh juri sebanyak 80 peratus diikuti Hazrul Nizam (79.80 peratus) dan Shila Amzah (78.90 peratus). – KOSMO! ONLINE