BANGKOK – Seorang wanita di Thailand bertindak nekad merosakkan kereta jenama Ford Everest miliknya menggunakan sebatang besi perejang dengan mendakwa bahawa dia mahukan ‘keadilan, dan bukannya perhatian’, lapor laman berita Thaiger semalam.
Runghathai, 42, bertindak memanjat bonet dan memecahkan cermin hadapan kereta itu kerana menghadapi perselisihan faham yang berterusan dengan syarikat Ford Thailand sejak Mac lalu.
Wanita itu membeli kereta tersebut dengan wang pendahuluan sebanyak 1.48 juta baht (RM180,650) pada 2 Februari lalu. Selepas 30 hari memandu sejauh 938 kilometer, keadaan kereta itu mula menjadi serba tidak kena.
Pada 4 Mac lalu, Runghathai membawa keretanya ke pusat servis Ford. Menurut mekanik, masalah tidak dapat diselesaikan tanpa mengeluarkan sistem pembersih udara yang dipasang olehnya.
Pusat servis itu mengatur janji temu untuk ‘pembaikan menyeluruh’ bermula pukul 11 pagi hingga 6.45 petang (waktu tempatan) pada 9 Mac lalu. Bagaimanapun, Runghathai tidak boleh pulang tanpa kereta.
Pada keesokan harinya, dia mengunjungi pejabat Lembaga Perlindungan Pengguna cawangan bandar Nakhon Ratchasima dan meminta diberikan kereta baharu model sama atau bayaran balik.
Lembaga itu mengatur untuk menganjurkan mesyuarat dengan pihak Ford bagi menyelesaikan masalah tersebut, namun Runghathai perlu menunggu sehingga 25 Julai.
Disebabkan tiada penyelesaian yang dicapai pada 25 Julai, satu lagi temu janji telah diatur pada 22 September. Namun pada September, Ford memberitahu bahawa Ranghathai tidak boleh memiliki kereta baharu tetapi kereta sedia ada boleh dibaiki.
Wanita berkenaan terkejut dan kecewa apabila penasihat undang-undang menuduhnya merampas kunci daripada mekanik semasa lelaki itu belum selesai membetulkan kereta dan tindakan itu menjadi kesalahannya.
Berang dengan kenyataan tersebut, Ranghathai bertindak memecahkan keretanya. Dia berharap tindakan itu akan menghebohkan kisahnya dan meyakinkan Ford Thailand untuk menggantikan kereta baharu. – AGENSI