LONDON – Seorang pemandu van terselamat dalam kemalangan ngeri yang menyaksikan van yang dipandunya remuk seperti besi sekerap baru-baru ini, lapor The Sun UK.
Kemalangan itu berlaku di Lebuh Raya M1 di Leicestershire, England, Jumaat lalu.
Pemandu yang tidak didedahkan itu terlibat dalam kemalangan yang menyaksikan van tersebut remuk dan tersepit di antara dua buah treler seperti roti sandwic.
Polis Leicestershire berkata, lelaki itu berjaya dikeluarkan daripada kenderaannya tanpa mengalami kecederaan serius melainkan sedikit kesan calar pada badannya.
“Mangsa sangat bernasib baik kerana masih hidup dan tidak mengalami kecederaan serius selepas vannya remuk.
“Dia keluar dengan keadaan baik selepas anggota penyelamat memotong sebahagian daripada serpihan vannya,” kata kenyataan itu lagi.
Seorang saksi kejadian turut kagum dengan kejadian itu dan memberitahu, jika dia tidak mengetahui cerita sebenar, dia akan mengatakan pemandu itu sudah meninggal dunia.
“Saya akan mempertaruhkan rumah saya mengatakan dia akan mati akibat kemalangan itu jika dilihat keadaan van dan trak yang sangat teruk itu,” katanya lagi. – Agensi