JAKARTA – Seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun yang mengendalikan sebuah mesin pengorek di sebatang sungai di Indonesia tular di internet baru-baru ini, lapor portal Tribun Pantura kelmarin.
Satu klip video berdurasi 4 minit 30 saat menunjukkan budak itu membantu mengalihkan batu besar di sungai berkenaan pada ketika beberapa penduduk di situ membantunya dengan memberi isyarat untuk memastikan kerja-kerja pembersihan berjalan lancar.
Kanak-kanak bernama Theo Paays itu memandu pulang jentera berat itu ke satu kawasan dekat rumahnya selepas membantu membersihkan sungai.
Klip video itu dimuat naik ke Facebook oleh Ayos Pattiasina menjadi tular selepas dikongsi lebih 1,180 kali.
Portal berita Kompas melaporkan kejadian itu dirakam di perkampungan Hutimuri, Leitimur Selatan, Bandar Ambon, wilayah Maluku di Indonesia kelmarin
“Namanya Theo Paays dan dia cuma berusia lima tahun. Dia cucu saya,” kata datuk kanak-kanak itu, Anthony Paays.
Anthony berkata, penduduk kampung meminta tolong Theo untuk membantu membersihkan sisa jambatan runtuh dan batu besar yang menyekat aliran sungai serta menghempap saluran paip sumber air bersih di sungai berkenaan.
Katanya, jambatan sementara itu rosak dan runtuh disebabkan satu kejadian banjir pada malam Sabtu lalu.
Tambah Anthony, kecekapan cucunya mengendalikan jentera itu mungkin kerana dia gemar memerhatikan operator lain memandu mesin pengorek sejak setahun lalu.
Anthony yang bekerja sebagai ketua projek pembangunan di kawasan itu menyimpan beberapa buah mesin pengorek dan traktor milik syarikat pembinaan di kawasan rumahnya.
“Saya tidak berasa bimbang membiarkan Theo mengendalikan jentera-jentera ini kerana dia tahu teknik yang betul.
“Theo juga mahir memandu traktor. Semuanya dipelajari sendiri tanpa bantuan saya atau sesiapa,” dakwanya. – Agensi