LONDON – Hampir 2,000 penyokong Liverpool membuat keputusan untuk menyaman Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) ekoran kawalan keselamatan yang longgar ketika aksi final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid musim lalu.
Pada aksi tersebut yang berlangsung di Stade De France, ia terpaksa ditangguhkan selama 35 minit ekoran kekacauan yang berlaku di luar stadium selepas terdapat beberapa isu termasuk tiket palsu.
Kira-kira 1,700 penyokong mendakwa mereka mengalami kecederaan dan trauma ekoran insiden berkenaan menyebabkan kesalahan itu diletakkan kepada UEFA yang gagal menyediakan pasukan dan protokol keselamatan yang berkesan.
Menurut laporan, firma guaman antarabangsa, Binghams dan Pogust Goodhead telah membuka sebanyak 1,450 fail tuntutan daripada klien mereka yang bersedia untuk mengheret UEFA ke mahkamah.
Jurucakap Binghams, Gerard Long memberitahu, kejadian tersebut amat mengejutkan, malah situasi itu sendiri menyebabkan kemeriahan perlawanan akhir tidak lagi diberikan tumpuan.
“Bukan sahaja para peminat, malah rakan-rakan, ahli keluarga dan klien kami sendiri yang hadir untuk menyaksikan perlawanan berkenaan lebih berminat untuk bercakap mengenai situasi yang berlaku di luar stadium berbanding perlawanan itu,” katanya.
Tambahnya, mereka akan mengemukakan dakwaan terhadap pelanggaran kontrak penjualan tiket dan pengabaian tugas terhadap kawalan keselamatan menyebabkan penonton berdepan isu kecederaan fizikal dan tekanan psikologi.
Dalam laporan sebelum ini, UEFA mendakwa ketibaan lewat para penyokong Liverpool menyebabkan perlawanan itu ditangguhkan dan perkara tersebut sudah berada di dalam jangkaan mereka. – AGENSI