TAPAH – Kes warga negara Malaysia yang didera dan diperdaya di Kemboja tidak menghalang rundingan kerajaan untuk membawa masuk pembantu rumah dari negara itu ke sini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kes sedemikian adalah serupa sebagaimana yang berlaku di negara ini dan beliau percaya kerajaan mampu menyelesaikannya.
“Pekerja datang dari negara lain pernah dibuli di negara kita, maka ini adalah kes yang kita boleh selesaikan secara berhemah,” katanya kepada pemberita ketika hadir Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka Tapah di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seramai 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Phnom Penh, Kemboja diselamatkan dan kembali ke tanah air.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, seramai 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut dilaporkan akan membentangkan kepada Jemaah Menteri cadangan dalam memorandum persefahaman (MoU) bagi membawa masuk pembantu rumah dari Kemboja khususnya yang beragama Islam.
Sementara itu, Saravanan turut mengulas langkah kementerian membawa masuk pekerja asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan menggaji pekerja warga asing.
“Para majikan dinasihatkan supaya tidak tertumpu kepada dua negara sahaja kerana kerajaan membuka peluang pekerjaan daripada 12 negara lain untuk pengambilan pekerja asing.
“Kita dah buka untuk 14 negara, tolonglah cuba dapatkan pekerja-pekerja asing daripada semua negara-negara sokongan. Apabila bergantung kepada dua negara sahaja (Bangladesh dan Indonesia), terlalu banyak syarat,” katanya. – KOSMO! ONLINE