MOTEGI – Hasrat pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia untuk memintas pendahulu keseluruhan, Fabio Quartararo dari Monster Energy Yamaha pada perlumbaan Grand Prix Jepun di Litar Motegi sebentar tadi tidak kesampaian.
Pada perlumbaan tersebut, Bagnaia gagal menamatkan saingan selepas tindakkan agresifnya untuk memintas Quartararo pada pusingan terakhir berakhir malang apabila dia terjatuh dan gagal menamatkan perlumbaan.
Quartararo nyata lega selepas terselamat daripada terlibat dalam insiden tersebut sekali gus mengakhiri saingan di tempat kelapan selepas dia gagal menamatkan perlumbaan pada GP Aragon minggu lalu.
Keputusan tersebut membolehkan Quartararo mengutip lapan mata berharga dan kini mendahulu carta kedudukan teratas dengan 219 mata.
Hasil keputusan tersebut, Bagnaia kini ketinggalan 18 mata apabila menduduki tangga kedua keseluruhan selepas mengumpul 201 mata.
Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Australia, Jack Miller (Ducati) dan diikuti pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Brad Binder tempat kedua dan Jorge Martin (Pramac Racing) tempat ketiga.
“Saya sangat teruja menjuarai perlumbaan hari ini dan pastinya ia adalah penamat terbaik saya di Jepun. Apapun terima kasih kepada pasukan menyediakan jentera terbaik buat saya hari ini,” kata Miller.
Sementara itu, Marc Marquez yang melakukan kejutan memulakan saingan dipetak utama di Motegi tampil dengan tunggangan positif apabila menamatkan perlumbaan tempat keempat.
Ia adalah keputusan terbaik dicapai Marquez selepas sebelum ini berehat tempoh lama berikutan menjalani pembedahan tangannya. – AGENSI