KOTA BHARU – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang sebelum ini mengendalikan pasukan itu selepas gagal melunaskan tunggakan hutang berjumlah RM3.93 juta.
Norizam atau lebih popular dengan panggilan Zamsaham mendedahkan mengenai perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Bagaimanapun, jumlah saman itu tidak didedahkan oleh kedua-dua belah pihak.
Menurut Norizam, beliau pada awalnya mahu mengunci mulut mengenai perkara itu, namun mengambil keputusan untuk mendedahkan selepas menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai.
“Saya sebenarnya nak diamkan sahaja, tapi selepas ramai yang tanya, maka memang benar saya saman KAFA kerana gagal membayar hutang sebanyak RM3.93 juta.
“Asalnya hutang RM3.8 juta, namun ia naik sebab KAFA minta tambahan pinjaman. Tetapi, setakat hari ini satu sen pun belum pulang ke saya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha KAFA, Husin Deraman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima surat saman daripada Norizam.
Katanya, saman tersebut melibatkan seluruh barisan kepimpinan yang menerajui badan berkenaan ketika ini.
Tambahnya, KAFA sedang berusaha untuk mencari dana bagi melunaskan bayaran hutang itu. – KOSMO! ONLINE