PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan bertemu dengan pemimpin baharu tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Menurut kenyataan Wisma Putra, sesi perjumpaan di Istana Presiden di ibu kota Abu Dhabi itu antara program yang diatur bersempena lawatan kerja beliau ke negara itu bermula esok.
Ini pertemuan kali pertama setelah pelantikan baginda sebagai Presiden UAE ketiga pada 14 Mei lalu bagi menggantikan kekandanya, Almarhum Sheikh Khalifa Zayed Sultan Al Nahyan.
“Agenda perbincangan utama kedua-dua pemimpin itu termasuk penerokaan kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi yang mengukuhkan jalinan dua negara,” kata Wisma Putra hari ini.
Antaranya ialah bidang ekonomi digital, keselamatan makanan, pendigitalan pendidikan, tenaga yang boleh diperbaharui dan penyertaan Malaysia dalam Program Legasi Lima Tahun.
Mereka berdua ujar kenyataan itu, akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan secara bersama serta ummah Islam.
Ismail Sabri juga akan mengunjungi Abu Dhabi National Oil Company dengan fokus utama prospek kerjasama dengan Petronas dalam sektor minyak dan gas serta tenaga diperbaharui.
Wisma Putra menambah bahawa lawatan Perdana Menteri pada kali ini akan turut diiringi oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar sendiri dan para pegawai kanan kerajaan.
“Lawatan ini penting bagi pengukuhan hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan UAE kerana tahun lalu negara itu antara rakan dagang terbesar di rantau Asia Barat,” katanya.
UAE merupakan destinasi eksport kedua terbesar selain sumber import kedua paling besar bagi Malaysia dalam kalangan negara-negara di rantau berkenaan sepanjang tahun lepas.- KOSMO! ONLINE