PETALING JAYA – Tindakan seorang pemilik restoran membuat laporan polis terhadap seorang pelanggan kerana tidak berpuas hati dengan kualiti makanan yang dijualnya mendapat perhatian orang ramai.
Kejadian itu berlaku apabila seorang wanita memuat naik sebuah video menunjukkan sebungkus nasi goreng pattaya yang dibeli di sebuah restoran di Mergong, Kedah menggunakan aplikasi tempahan makanan.
“Kita tempah nasi goreng pattaya harga RM13 (termasuk caj penghantaran), tengoklah dapat nasi macam mana.
“Macam untuk orang sakit pun ada, macam ini ke harga nasi RM9.50?,” kata wanita tersebut.
Dia turut menunjukkan rupa nasi goreng yang sebahagian besarnya sudah pun dimakan.
Sedar akan reaksi negatif yang diterima daripada video itu, pemilik restoran berkenaan tampil ke depan bagi mempertahankan kedainya.
Lebih memeranjatkan lagi, pemilik restoran itu juga memaklumkan telah membuat laporan polis terhadap wanita tersebut kerana telah merosakkan reputasi restorannya.
“Saya dah pun melakukan laporan polis. Saya tak pasti sama ada dia tahu atau tidak atau sengaja buat tak tahu dia telah pun mengganggu, mengancam dan merosakkan reputasi kedai saya.
“Jika hal ini berterusan saya akan ‘proceed’ ke ‘next step’ (ke langkah seterusnya),” katanya dalam video yang turut dimuat naik di TikTok.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna menegur kedua-kedua individu berkenaan dan menasihatkan agar masalah itu diselesaikan dengan baik.
“Dua-dua pihak aku tak setuju dengan tindakan mereka. Dua-dua ‘over’, kakak itu pun ada masa buat video. Kalau dah geram sangat, pergilah kedai itu sendiri dan minta yang baharu,” kata Fit.
“Pasal pelanggan ‘complain’ pun buat laporan? Itu sebab berniaga makanan kena belajar habis dulu. Adat berniaga kena terima baik buruk, usahakan lagi jaga kualiti masakan,” kata Miey. – KOSMO! ONLINE