ALOR GAJAH – Perjalanan sekumpulan 13 ‘mat motor’ berkonvoi pulang ke Kuala Lumpur dari Melaka berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya maut di Kilometer 202.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Nasrul Adnan, 18, yang beralamat di Hulu Klang, Selangor meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa berkonvoi bersama 12 rakannya untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Melaka.
“Setiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 telah melanggar belakang sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero nombor plat tidak pasti di lorong kiri.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah terjatuh di lorong kiri lalu dilanggar sebuah Perodua Bezza yang tidak sempat mengelak,” katanya.
Ujarnya, akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
“Pihak polis meminta pemandu kenderaan pacuan empat roda dipercayai jenis Mitsubishi Pajero terlibat untuk tampil membantu siasatan.
“Kita juga meminta rakan-rakan si mati yang turut sama berkonvoi dan orang awam yang melihat kejadian tampil memberi keterangan,” ujarnya.
Katanya, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE