ALOR GAJAH – Seramai 37 pekerja warga asing sebuah kilang di sini nyaris maut selepas bas pekerja dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Kesang Pajak, Durian Tunggal, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, kesemua mangsa mengalami kecederaan dengan tiga daripadanya parah dan dikejarkan ke zon merah Hospital Jasin.
Turut cedera dalam kejadian adalah seorang pemandu bas warga tempatan berusia 56 tahun yang cedera pada bahagian kepala dan muka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan dari arah kilang Ansell, Ayer Keroh menghala ke asrama pekerja di Durian Tunggal.
“Sampai lokasi, bas tersebut dipercayai telah hilang kawalan semasa menuruni bukit dan terjunam ke dalam gaung,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Tambahnya, anggaran kedalaman gaung dari jalan adalah lebih kurang 15 meter.
Mengulas lanjut beliau berkata, akibat kemalangan itu, tiga mangsa dihantar ke zon merah, lima mangsa (zon kuning), tujuh mangsa (zon hijau) di Hospital Jasin dan 23 lagi dirawat di klinik panel.
“Pemandu bas juga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke zon kuning untuk rawatan susulan.
“Hasil pemeriksaan pekerja asing yang terlibat adalah warga Myanmar dan Nepal,” ujarnya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE