fbpx

Lee Zii Jia tak kesal ketepikan Sukan Komanwel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA menganggap ketiadaannya tidak memberikan kesan kepada skuad badminton negara ketika mengharungi aksi Sukan Komanwel lalu.

PERSEORANGAN lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia menyatakan dia tidak pernah kesal atas keputusannya untuk menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 penghujung Julai lalu.

Kata pemain No.4 dunia itu, jika tidak mengambil kira kecederaan yang dialami ketika itu, dia lebih memilih untuk menggalas misi Malaysia bagi memburu kilauan pingat emas pada temasya empat tahun sekali tersebut.

Meskipun tidak beraksi di Sukan Komanwel, namun Zii Jia gembira memandangkan peluang itu digunakan sebaiknya pemain-pemain lain seperti Ng Tze Yong serta beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah.

“Pertama sekali, apa keputusan yang saya buat (tarik diri Sukan Komanwel), saya tidak pernah kesal dan mereka masih mampu menampilkan aksi terbaik walaupun tanpa kehadiran saya di sana.

“Semua orang boleh lihat, ketiadaan saya tidak beri kesan dan bukanlah isu besar. Tambahan pula saya mengalami kecederaan ketika itu dan tidak ada pilihan lain, kalau boleh memang saya mahu beraksi di Komanwel,” katanya ketika ditemui di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, juara Asia itu menjadi mangsa kecaman netizen di media sosial apabila mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai Sukan Komanwel kerana mahu memberikan tumpuan kepada Kejohanan Badminton Dunia.

Bagaimanapun, keputusan yang dibuat dilihat agak mengecewakan apabila dia gagal mencapai sasaran juara apabila tersingkir di pusingan ketiga selepas tewas 19-21, 21-11, 19-21 kepada pemain China, Zhao Jun Peng.

“Saya jangkakan prestasi terbaik pada Kejohanan Dunia sebelum ini, jadi tentu ada rasa kecewa, namun saya anggap ia sebagai progres dan perlu terima keputusan tersebut dengan hati terbuka,” ujarnya.

Pada masa sama, pemain kelahiran Alor Setar itu tekad untuk menstabilkan prestasi selain meletakkan sasaran untuk menembusi kelompok dua teratas dunia menjelang akhir tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI