BALIK PULAU – Hujung minggu sebahagian penduduk di Kampung Lada, Bayan Lepas di sini terganggu apabila masing-masing berkejaran menyelamatkan diri dengan meredah banjir selepas kediaman mereka dinaiki air pagi semalam.
Hujan lebat lebih dua jam itu menyebabkan air naik setinggi tiga meter menyamai paras pinggang.
Difahamkan, aliran air sungai berkenaan bermula dari Kampung Anak Bukit di Bayan Lepas sehinggalah ke sungai besar berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Seorang penduduk, Siti Nashiyatul Aishiyah Jamil, 38, berkata, dia tidak sangka hujan lebat yang berterusan lebih sejam itu menyebabkan air sungai naik hingga ke pekarangan rumahnya kira-kira pukul 8.30 pagi.
Menurutnya, dia dan suami, Nor Afif Nor Ahmad, 39, terus mengalihkan peralatan elektrik dan perabot di tempat yang lebih tinggi sebaik melihat keadaan sungai mula mencecah permukaan jambatan besi.
“Dalam tempoh kurang setengah jam, saya lihat keadaan banjir di pekarangan rumah sudah berada pada paras pinggang.
“Mujur kami sempat keluar selamat diri ke rumah saudara yang terletak di tepi jalan utama di sini. Ini merupakan kejadian banjir pertama dalam tempoh tiga tahun dan paling teruk adalah pada 2018 sehingga mencecah bahagian leher,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mujahid Mohd. Latif, 30, pula memberitahu, dia sebelum itu sudah pun menduga akan berlaku bencana banjir berikutan keadaan air sungai yang semakin tinggi sehingga mencecah permukaan titi yang terletak kira-kira lima meter dari rumahnya.
“Tempat ini sudah biasa berlaku banjir. Sebaik melihat keadaan sungai yang mula menyentuh permukaan titi, saya dan isteri terus membawa anak berusia tiga tahun keluar meninggalkan kediaman.
“Mujur sempat alih beberapa barangan dan kelengkapan utama. Banjir dikatakan mula surut sebaik hujan lebat berhenti kurang sejam kemudian,” ujarnya semua penduduk tidak menunggu lama untuk membersihkan kawasan rumah yang terjejas dengan selut.
Dalam perkembangan berkaitan, hujan lebat turut mengakibatkan beberapa lagi kawasan di sekitar Bayan Lepas termasuk di bulatan berdekatan laluan utama ke LTAPP, Sungai Ara dan Bayan Baru turut dinaiki air.