LEIPZIG – Jerman gagal untuk membuktikan mereka sudah bersedia menghadapi saingan Piala Dunia 2022 di Qatar November depan selepas tewas 0-1 kepada Hungary pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Red Bull Arena awal pagi semalam.
Keputusan itu juga menyaksikan ia menjadi kekalahan pertama buat ketua jurulatih, Hansi Flick selepas beliau mengambil alih pasukan tersebut pada Ogos tahun lalu bagi menghadapi Piala Dunia.
Bekas pengendali Bayern Munich itu mengakui, beliau langsung tidak berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan barisan pemainnya, selain melabelkan kekalahan itu memalukan.
“Saya fikir kekalahan ini membuka mata kami sebagai satu pasukan. Kami menampilkan aksi cukup mengecewakan pada separuh masa pertama kerana gagal menjadi proaktif dan bermain tanpa keyakinan.
“Kekalahan ini nyata membuatkan kami sedar tentang kemampuan sebenar Jerman. Saya mengaku keputusan hari ini (semalam) adalah aksi paling buruk kami dalam 14 perlawanan, terutamanya di separuh masa pertama,” katanya.
Flick juga percaya gol kemenangan yang dijaringkan Adam Szalai pada minit ke-17 sepatutnya boleh dielak jika barisan pemainnya mengekalkan fokus ketika berdepan serangan Hungary.
“Gol itu sepatutnya boleh dielak jika semua pemain memberikan sepenuh tumpuan. Saya juga tidak sangka kami hanya cipta beberapa peluang sepanjang 90 minit permainan. Eksperimen sudah berakhir, jadi kami akan fokus pada aksi sebenar sekarang,” ujarnya.– AGENSI