fbpx

Semua terlibat program UiTM bersama Dr. Zulkifli diarah jalani saringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UiTM sarankan siapa terlibat program bersama Zulkifli membuat saringan Covid-19.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengarahkan semua individu yang mempunyai kontak rapat dalam satu program bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam supaya segera menjalani pemeriksaan saringan Covid-19.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Mohd. Azraai Kassim berkata, beliau dan semua staf yang terlibat telah menjalani ujian swab dan kuarantin diri selama 14 hari bermula hari ini.

Katanya, UiTM mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengesan dan memastikan semua individu yang menyertai program itu menjalani saringan secepat mungkin.

“Langkah itu bertujuan memastikan semua individu terlibat terpelihara daripada jangkitan Covid-19 yang boleh memudaratkan.

“Sebagai tindakan pencegahan dan kawalan, saya telah mengarahkan semua individu yang ada kontak rapat dalam majlis bersama Menteri semalam menjalani ujian swab dan mengelak sebarang kemungkinan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Hari ini, Zulkifli menerusi kenyataan di akaun rasmi Facebook (FB) miliknya mengesahkan sedang menerima rawatan selepas disahkan positif Covid-19.

Beliau turut menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang membabitkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan dengan segera.

Semalam, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menghadiri satu majlis bersama penuntut di UiTM, di sini, untuk menyampaikan bantuan melalui misi #MusaadahkhasSiswa.

Dalam pada itu, Mohd. Azraai memaklumkan UiTM telah menguruskan pelaksanaan sanitasi di premis dan kawasan berlangsungnya program bersama menteri tersebut.

“Semua individu yang terlibat diminta berhubung dengan Bilik Gerakan Covid-19 UiTM untuk menjalani ujian swab,” katanya.

Tambahnya, semua warga universiti itu diminta kekal tenang dan tabah dengan situasi yang mencabar ketika ini.

“Saya peka dan ambil maklum kebimbangan warga UiTM berhubung keadaan yang berlaku dan memberi jaminan telah mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keadaan terkawal,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI