PERJALANAN berliku dan penuh cabaran langsung tidak membuatkan gadis Pesona Ahad minggu ini meninggalkan cita-citanya untuk bergelar seorang pelakon teater terkemuka suatu hari nanti.
Biarpun kini Siti Nurdeerina Sheikh Mohd. Faisal, 24, menceburi bidang pengacaraan di sebuah stesen televisyen baharu, namun tetap menyimpan hasrat untuk berlakon di dalam pementasan teater.
Lebih mesra disapa Deerina, anak bongsu daripada dua beradik ini bagaimanapun mengakui bahawa laluan yang dipilih olehnya tidak semudah seperti yang disangka.
Kepada Kosmo! Ahad, graduan Diploma Teater daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu berkongsi mengenai diri dan impiannya.
Kosmo Ahad!: Ceritakan sedikit mengenai diri Deerina?
Deerina: Saya seorang yang periang. Saya menetap di Teluk Intan sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada 2016. Selepas tamat belajar, saya temui bidang pengacaraan sebagai salah satu cabang baru dalam karier saya kerana tidak banyak pementasan teater ketika pandemik.
Mengapa Deerina memilih teater?
Saya mula minat dengan teater sejak kecil lagi kerana terpengaruh dengan kerja bapa saudara sebagai pengarah. Saya kagum kerana teater melibatkan lakonan, nyanyian dan tarian.
Inspirasi Deerina kekalkan motivasi?
Ibu saya. Dialah ibu, bapa dan kawan baik saya. Dia seorang insan yang sangat kuat dan sentiasa menyokong saya. Begitulah cara saya untuk bangun setiap kali jatuh, hanya fikirkan apa yang telah ibu saya lakukan.
Pengalaman pahit?
Saya tidak mempunyai kasih sayang seorang bapa serta melihat ibu membesarkan saya dan kakak seorang diri. Perasaan sedih dan cemburu sentiasa hadir dahulu ketika melihat kawan-kawan keluar bersama keluarga.
Aktiviti masa lapang?
Perkara yang sering dilakukan adalah menyanyi. Ia merupakan aktiviti kegemaran pada bila-bila masa asalkan tidak mengganggu orang lain. Saya suka menyanyi di bilik mandi dan dalam kereta. Selain itu, saya juga banyak habiskan masa memasak.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Saya meminati lelaki yang tinggi dan berkulit gelap. Paling mustahak mesti berilmu selain pandai menjaga hati dan mempunyai sikap yang baik lebih-lebih lagi kepada orang tua.
Bagaimana Deerina hadapi tekanan ekonomi sekarang ini?
Saya akui memang kita tak dapat lari daripada kenaikan harga barang. Namun, apa yang saya buat ketika ini adalah menguruskan perbelanjaan dengan lebih jimat. Sebagai langkah selamat, saya juga menyimpan lebih banyak dan hanya membeli sekiranya perlu.