TOKYO – Satu kaji selidik mendapati kebanyakan wanita muda di Jepun yang mahu berkahwin hanya inginkan seorang anak atau enggan mempunyai cahaya mata sama sekali, lapor akhbar Japan Today semalam.
Buat kali pertama dalam sejarah selepas Perang Dunia Kedua, purata bilangan kelahiran merosot kepada kurang daripada dua orang sekali gus menambahkan kebimbangan mengenai populasi Jepun yang semakin tua.
Kaji selidik oleh Institut Penyelidikan Penduduk dan Keselamatan Sosial Kebangsaan pada 2021 mendapati minat kepada perkahwinan menurun dengan ketara dalam kalangan orang muda sejak kali terakhir tinjauan sama dilakukan pada 2015, namun lebih 80 peratus responden masih mahu berkahwin.
Institut itu melakukan tinjauan mengenai trend kelahiran dan perkahwinan hampir setiap lima tahun sejak 1940. Tinjauan pada 2021 mendapat maklum balas daripada 7,826 orang bujang dan 6,834 pasangan yang sudah berkahwin.
Menurut institut tersebut, data dikeluarkan pada 9 September lalu menunjukkan bahawa minat untuk mendirikan rumah tangga semakin berkurangan dengan memetik ‘ketidakpastian semasa pandemik Covid-19 mungkin menjejaskan harapan dan impian orang ramai untuk masa depan mereka’.
Kebanyakan daripada 4,086 responden bujang berumur antara 18 hingga 34 tahun enggan memiliki anak atau mahukan seorang anak sahaja dalam kaji selidik kali ini.
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi mengesyorkan kadar kelahiran purata 2.1 untuk seorang wanita untuk mengekalkan populasi Jepun yang stabil.
Minat kepada perkahwinan juga menurun berbanding tinjauan sebelumnya iaitu 84.3 peratus dalam kalangan wanita, turun 5.0 mata dan 81.4 peratus dalam kalangan lelaki, merosot 4.3 mata.
Angka bagi mereka yang berharap untuk berkahwin secara relatifnya stabil sejak 1997.
Satu daripada tiga orang di Jepun tidak mahu menjalinkan hubungan cinta, manakala 27.8 peratus wanita bujang dan 21.1 peratus lelaki bujang sedang dalam hubungan.
Institut itu juga berkata bahawa pandemik Covid-19 telah menjejaskan cara pasangan bertemu dengan arahan tinggal di rumah dan bekerja dalam talian menggantikan interaksi secara bersemuka. – AGENSI