fbpx

Survival hidup, Haida Hasnan buka bengkel kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAIDA HASNAN

KEHADIRAN wanita bertubuh genit itu mewarnai industri seni hiburan sebagai penyanyi pada era 1990-an diterima baik oleh peminat.

Berbekalkan vokal nyaring dan lantang, penyanyi yang kini dikenali sebagai Haida Hasnan itu masih diingati dengan rangkaian lagu ‘berhantunya’ seperti Hajat, Manis Masa Bercinta dan Besar Kemungkinan.

Selama 15 tahun menyepi dari radar industri seni, Haida seakan mengunci diri dan selesa menjadi seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata.

Bukan kerana merajuk untuk meneruskan perjuangan dalam dunia hiburan, sebaliknya penyanyi dengan nama lengkap Siti Haida Hasnan itu sibuk menguruskan perniagaannya selain kini menetap di Melaka.

Ujar penyanyi berusia 44 tahun itu, dia beralih ke bidang perniagaan kerana mahukan masa depan yang lebih baik bersama anak-anak.

“Saya tidak merajuk. Cuma terfikir sampai bila saya nak menyanyi. Pendapatan pun tidak tetap.

“Jadi sejak 2017, saya sudah tekad mula berniaga. Macam-macam perniagaan saya buat antaranya katering dan pengurusan acara,” katanya.

Ujar Haida, dia tekad mencari sumber pendapatan yang boleh memberi jaminan pada masa depan.

“Apa yang saya jangkakan memang betul-betul terjadi apabila seluruh dunia dilanda Covid-19 sekali gus memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika itu dua bisnes yang saya usahakan tidak berjalan dengan baik. Mujurlah ada satu lagi perniagaan iaitu bengkel kereta. Perniagaan itulah yang masih bertahan dan menampung hidup saya sekeluarga,” katanya.

Kedengaran agak janggal apabila seorang wanita yang dahulunya merupakan penyanyi membuka perniagaan bengkel kereta.

Tetapi bagi Haida, tiada apa yang mustahil asalkan perut anak-anaknya terisi. Ceritanya lagi, dia mendapat ilham untuk membuka bengkel kereta selepas kenderaan miliknya selalu ‘meragam’.

“Kereta saya asyik rosak dan selalu kena hantar ke bengkel untuk dibaiki. Dari situ saya kenal beberapa orang mekanik dan tercetuslah idea untuk buka bengkel sendiri.

“Bengkel saya terletak di Taman Kota Laksamana, Melaka,” kata Haida.

HAIDA berharap agar kehadirannya dalam program GV9 dapat mengubati kerinduan peminat.

Ketika berkongsi kehidupan peribadinya kepada Pose, Haida yang kini menjadi salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) memberitahu dia kini bergelar ibu tunggal sejak 2014 lagi.

“Sudah lapan tahun saya bergelar ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata lelaki. Setakat ini saya masih selesa dengan kehidupan begini.

“Mungkin saya sudah terbiasa dengan proses kehidupan seperti ini (bergelar ibu tunggal). Anak-anak yang semakin membesar membuatkan saya lebih bahagia dan gembira.

“Saya okey sahaja begini. Anak-anak pun memahami. Kalau ada jodoh lain selepas ini, ada lah,” katanya.

Sekadar info, Haida kali terakhir dilaporkan berkahwin dengan Azhr Omar pada 2000. Bersama Azhr, mereka dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Muhammad Aizuddin, 20, Muhammad Danish Aiman, 18, dan Muhammad Muharam, sembilan tahun.

Sementara bercakap tentang penglibatannya dalam GV9, Haida mengakui sangat gementar lebih-lebih lagi sudah berbelas tahun dia tidak berdiri di atas pentas besar membuat persembahan.

Tetapi pada masa sama, wanita itu sangat gembira apabila diberi peluang walaupun terpaksa bersaing dengan penyanyi-penyanyi hebat lain yang lebih popular berbanding dirinya.

“Saya mewakili penyanyi era 1990-an. Memang gementar, namun saya teruja untuk buat yang terbaik. Moga dapat mengubati kerinduan peminat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI