NEW DELHI – Satu iklan dalam akhbar di India menjadi tular apabila seorang pengiklan memaklumkan bahawa dia sedang mencari sijil kematian diri sendiri yang didakwa telah hilang, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Sijil kematian hanya dikeluarkan selepas seseorang itu disahkan mati oleh pihak berkuasa seperti hospital dan polis.
Menerusi foto yang dimuat naik oleh pegawai polis Rupin Sharma di Twitter, ia menunjukkan iklan itu bersama butiran lanjut.
“Saya telah kehilangan sijil kematian saya di Bazar Lumding, negeri Assam bertarikh 7 September lepas,” tulis iklan tersebut.
“Hanya berlaku di India, orang mati mencari sijil kematian sendiri,” kata Rupin dalam komennya.
Sejak dikongsikan, imej iklan tersebut menjadi topik perbualan dalam kalangan pengguna media sosial.
Netizen tertanya-tanya adakah lelaki itu meminta pertolongan dari syurga.
Sesetengah pengguna secara berseloroh bertanya siapa atau ke mana yang perlu dihubungi sebaik sahaja mereka menemui item yang hilang.
“Jika sijil itu ditemui, penemu perlu menghantarnya ke syurga atau neraka? Seloroh seorang pengguna. – Agensi