fbpx

PM, menteri jalani swab, kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESYUARAT Khas MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri turut dihadiri Zulkifli di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Sabtu lalu.

PUTRAJAYA – Semua yang hadir di Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Bangunan Perdana Putra di sini pada Sabtu lalu telah menjalani saringan kesihatan semalam serta sampel diambil untuk ujian pengesanan jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sa­ringan dibuat berikutan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut menghadiri mesyuarat itu disahkan positif jangkitan virus berbahaya tersebut semalam.

Menurutnya, Zulkifli kini sedang menerima rawatan lanjut di sebuah hospital di Seremban.

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan ujian saringan pengesanan Covid-19 ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat tersebut.

“Mereka yang dikenal pasti kontak rapat (dengan Zulkifli) semasa mesyuarat ini telah diberi surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari dari 3 Oktober lalu dan dipakaikan gelang pengawasan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mesyuarat Khas MKN itu dipengerusikan oleh Muhyiddin.

Antara yang hadir ialah Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin serta menteri-menteri berkaitan.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor His­ham Abdullah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Muhyiddin berkata, ahli ­mesyuarat yang bukan kontak rapat dengan Zulkifli dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari bermula Sabtu lalu.

“Saya akan menjalani kua­rantin kendiri di kediaman saya selama 14 hari mengikut nasihat KKM, namun ia tidak akan mengganggu urusan kerajaan.

“Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan,” ujarnya.

Beliau berkata, sebelum ini, beliau juga telah melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 setiap dua minggu sejak bulan April lalu dan kesemua ujian itu disahkan negatif.

Muhyiddin juga telah melakukan tiga ujian pengesanan ­Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September lalu dan didapati negatif.

Sementara itu, Noor Hisham memberitahu, ketika Mesyuarat Khas MKN itu, Zulkifli tidak me­ngalami sebarang gejala jangkitan Covid-19.

“KKM ingin memohon orang ramai agar tidak khuatir dengan kejadian ini dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI